Kesekian kalinya meninggalkan lapangan dakwah ini, terasa agak kekok menyampaikan kuliah ilmu di Madinatul ‘Ilmi, Pondok Kenali di Kubang Kerian. Kuliah ilmu ini atas jemputan sahabat-sahabat jurusan kedoktoran di Hospital Universiti Sains Malaysia agak berat untuk diterima, tetapi atas dasar berkongsi ilmu dan pengalaman, diri ini digagahi jua.
Bermula jam 9.45 malam di hadapan lebih 50 orang, aku mula memperkenalkan kitab yang akan dijadikan bahan kupasan dalam kuliah ilmuku. Buku yang aku pilih ialah Kitab Karangan Dr Munir Muhammad Al-Ghadbhan yang bertajuk Al-Manhaj Al-Haraki li Al-Sirah Al-Nabawiyyah ( Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah). Kitab ini terbitan Dar Al-Wafa pada tahun 2003. Kitab ini sudah diterjemahkan kepada versi Indonesia oleh K.H Rahmat Abdullah bertajuk Manhaj Haraki: Strategi Pergerakan dan Perjuangan Politik dalam Sirah Nabi S.A.W. Versi Indonesia ini wujud dalam dua jilid. Manakala terjemahan kitab ini ke Bahasa Melayu dilakukan oleh Al-Fadhil Ustaz Taib Azamuddin di bawah tajuk yang sama dengan versi Indonesia.
Mengapa kitab ini kupilih? Pertamanya, apabila aku membaca buku ini pertama kalinya pada tahun 2003 yang lalu, aku dapati kupasan dan skop perbahasan yang ditumpukan oleh penulis amat menarik sekali. Penulis pada pengantar buku ini menyebut bahawa khutub khanah berkenaan seerah terlalu banyak dalam gedung ilmu, tetapi jika disingkap dari sisi pergerakan pola haraki belum wujud lagi. Penulis yang begitu menjiwai bidang sirah Nabi S.A.W ini mendapat inspirasi daripada buku Ma’alim fi Al-Thoriq dan kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an tulisan al- Syahid Syed Qutb. Dua buah buku ini disifatkan sebagai penulisan yang menggunakan metodologi liputan berdasarkan pemeringkatan dan fasa dalam kehidupan Rasullah dan mengaitkan dengan perkembangan politik kontemporari. Penulis menamakan kitab Tafsir karya Syed Qutb ini sebagai Silibus Haraki dalam Al-Qur’an. Terpanggil dengan corak liputan berdasarkan fasa-fasa tertentu dalam kehidupan Rasullah, maka penulisan buku seerah beliau ini dinamakan Manhaj Haraki dalam Seerah Nabi Muhammad S.A.W.
Berbalik kepada kuliah haraki berkenaan, aku menggunakan cara yang berbeza dalam mengupas kitab ini. Memilih untuk tidak membaca secara harfiah, tetapi melibatkan partisipasi semua audien untuk bersama-sama mengupas buku ini. Kumpulan dibahagikan beserta dengan subtopik untuk diulas. Mudah-mudahan dengan cara ini, ilmu dapat dilebarluaskan dengan memberi peluang kepada audien untuk bersama-sama mentelaah kitab ini secara tidak langsung. Setiap kumpulan ini akan membuat persembahan subtopik ini dalam bentuk persembahan Powerpoint bagi memudahkan kefahaman.
Kuliah ini dijadualkan 2 kali sebulan setiap hari Rabu malam Khamis. Kuliah Haraki ini melibatkan semua pelajar muslim di sekitar Kubang Kerian yang berkelapangan. Ini merupakan permulaan bagi aku untuk melibatkan diri dalam kuliah membaca kitab haraki ini. Selama ini hanya bergelumang dengan perbentangan kertas kerja, maka ini merupakan cabaran bagi aku untuk menerjah dalam satu dimensi baru. Dimensi baru tetapi klasik!





tahniah sahabatku. Moga terus thabat dan istiqamah di atas landasan perjuangan Islam.
tahniah sahabatku. Istiqamah sokmo
Sahabatku Hisom, aku semakin mengenali dirimu selepas bertemu mata dengan orang tua mu tempoh hari. Mungkin hang disitu kerana dididik untuk menjadi apa yang sedang hang lalui hari ini. Aku kagum dengan sejarah hidupmu.
assalamualaikum saudara Hisom… tumpang tanya… dimanakah boleh dibeli buku manhaj haraki dalam terjemahan bahasa melayu di malaysia ini? kalau ada yang bahasa indonesia pun ok juga cuma lebih prefer bahasa kita… harap saudara boleh bantu saya yang sedang mencari…