Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mahu Yang Dipertuanya meletak jawatan berikutan kenyataannya yang dikatakan bersifat perkauman.

MPMUM berpendapat, Afandy Sutrisno Tanjung tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan selain mengetepikan pendapat anggota kabinet majlis itu dalam menyuarakan pandangan untuk faedah warga universiti, kata seorang anggota Majlis Tertinggi MPMUM, Ahmad Shahir Abdul Aziz kepada pemberita di sini, hari ini.

Afandy yang memegang jawatan itu sejak dua penggal lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau sehingga menimbulkan sentimen perkauman di kalangan warga universiti dalam perutusannya melalui satu risalah dalaman, baru-baru ini.

Ahmad Shahir berkata, beberapa siri kenyataan Afandy termasuk perutusannya itu seolah-olah menunjukkan majlis itu berkiblat kepada kepentingan Melayu saja dan tidak peka kepada sentimen kaum lain.

“Sebarang kenyataan daripada Afandy sepatutnya berasaskan kepada polisi dan objektif majlis itu untuk memperjuangkan nasib mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) tanpa mengira latar belakang kaum.

“Daripada bantahan yang kami terima, kami (anggota kabinet MPMUM) sedang berusaha untuk mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) sebelum akhir semester ini,” kata Exco Kebajikan MPMUM, Mohamad Hilman Nordin.

Mohamad Hilman berkata, undi tidak percaya adalah resolusi terakhir sekiranya Afandy gagal meletak jawatan walaupun pilihan raya MPMUM hanya dijadualkan selepas September depan. – Bernama

2 Responses to “Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman”


  1. 1 munawirah April 11, 2008 at 5:13 pm

    teringat ana pada kata-kata keramat hang Jebat pada Hang tuah,

    “Raja adil raja disembah,
    Raja zalim ,raja disanggah”

    erm,amanah kepimpinan bukan suatu kebanggaan tapi ia adalah bebanan yang akan dipertanggungjawab di akhirat kelak..

  2. 2 fitrishukri May 18, 2008 at 4:24 pm

    Apa cerita bangunan peperiksaan UM kena bakar dek isu perkauman?


Leave a Reply




allbogs_bw2gif.png

Flickr Photos

ceramah

More Photos