Sejak dua minggu ini kesibukan menjengah bertalu-talu. Maaf buat sahabat yang mungkin menganggap blog ini macam biskut, sekejap ada sekejap tak ada..
Terpanggil untuk memberikan respon berkaitan cadangan Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti. Agak berani kenyataan yang dkeluarkan.
Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan, ada yang menyambut baik dan ada yang sebaliknya. Lebih menarik lagi, tinjauan undian pandangan awam menerusi Buletin Utama pada 24 Mac yang lalu menunjukkan 91% menyokong pindaan AUKU ini.
Dalam isu ini, saya mempunyai pendirian dan perspektif sepertimana saya berada dalam perjuangan di alam kampus dahulu, iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti ini hendaklah dimansuhkan.Ini kerana, ketika bergelar aktivis dan berada ditampuk kepimpinan kampus di Universiti Malaya, kami dipasakkan dengan perjuangan untuk memansuhkan akta ini. Usaha tekanan terhadap akta ini diterjemahkan bermula dengan surat bantahan hinggalah kepada dipukul belantan FRU.
Perjuangan mahasiswa yang tidak senada dengan kerajaan ini secara konsisten menggerakkan usaha memberikan tekanan kepada parti pemerintah untuk memasuhkan akta berkenaan. Pihak aktivis yang didukungi pelbagai latar belakang kaum, agama dan ideologi (kecuali boneka HEP dan kerajaan) menentang keras akta yang menyekat kebebasan dan hak asasi mahasiswa.
Kita tidak mahu berbicara panjang dan berdolak-dalih lagi tentang akta sumbang tersebut dengan “konotasi lembut” seperti meminda dan sebagainya. Dengan ini, saya masih tetap konsisten dengan perjuangan terdahulu, bahawa akta ini tidak relevan dengan perkembangan semasa dan wajar dimansuhkan. Tiada kata lain kecuali mansuh!
Bukan itu sahaja, kewujudan akta ini juga boleh disifatkan dosa terbesar kerajaan kepada seluruh mahasiswa dalam negara ini. Sepanjang akta ini wujud, ia jelas memberikan kesan negatif tehadap pembangunan generasi muda yang berpendidikan tinggi dalam negara.
Setelah hampir 40 tahun akta ini dilaksanakan, itupun sejurus kerajaan Barisan Nasional ditampar dan dihukum oleh generasi muda menerusi peti undi dalam pilihan raya baharulah akta ini hendak dipinda. Oleh itu, mana-mana pihak yang mempertahankan akta ini dilihat menongkah arus dan ketinggalan zaman. Saya juga menantikan respon positif mana-mana front mahasiswa kini berhubung dengan cadangan pindaan AUKU ini.
p/s: saya tidak mengharapkan kumpulan boneka HEP di kampus untuk memberikan respon kerna saya cukup yakin mereka akan mempertahankan akta tersebut mati-matian. Maklumlah…kerja membodek kerajaan sahaja di dalam pemikiran dan gagasan idelogi mereka. Maaf buat ASPIRASI…






Recent Comments